SPRM cadang undang-undang baru untuk tangani salah laku penjawat awam

Hakim Rahman
Oktober 17, 2013 12:45 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan bahawa undang-undang baru diwujudkan bagi menangani salah laku penjawat awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata pihaknya juga telah mengemukakan cadangan agar pindaan undang-undang dilakukan bagi mendakwa syarikat yang membenarkan perlakuan rasuah.
Jelas Abu Kassim, pihaknya mendapati terdapat banyak kes salah laku penjawat awam dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
“Diluar negara kita dapati kesalahan-kesalahan salah laku jawatan awam ini dia dapat melihat secara lebih luas lagi makna kata dia punya jaringan kesalahan lebih luas dan boleh melihat aspek-aspek kesalahan.
“Kita boleh lihat dalam Laporan Audit Negara misalnya, terdapat beberapa kesalahan dalamnya dimana pegawai kerajaan mengambil tindakan membelakangkan kepentingan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan khas sempena ulang tahun ke-46 Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, hari ini.
Tambah Abu Kassim, pindaan terhadap Seksyen 23 bagi mendakwa syarikat yang membenarkan rasuah juga telah dibincangan bersama pihak Jabatan Peguam Negara.
Mengulas perkembangan siasatan ekoran pendedahan Laporan Audit Negara, Abu Kassim berkata siasatan memakan masa kerana ia melibatkan pihak ketiga dan bukan kerana faktor perundangan.
"Jadi terdapat banyak faktor-faktor yang dipengaruhi faktor luar.
“Kalau kesediaan siasatan Datuk Sukri (Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi) telah pun menyiapkan kertas kerja yang boleh menjalankan siasatan dengan cepat tapi apabila melibatkan pihak ketiga itu yang melambatkan proses siasatan kita." katanya.
Dalam laporan Audit Negara baru-baru ini mendedahkan beberapa perkara mengejutkan antaranya kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta, kos membawa penyanyi K-Pop semasa Sambutan Hari Belia Kebangsaan, dan juga penggunaan tanpa had 106 kad kredit American Express untuk kegunaan Pengarah dan Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
#Laporan Audit Negara #SPRM #Tan Sri Abu Kassim Mohamed
;