SPRM buka dua kertas siasatan terhadap Sapura Energy

Umavathi Ramayah
Mac 14, 2025 23:18 MYT
Azam Baki mengesahkan perkara itu berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. - Gambar Sapura Energy Berhad
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan selepas menerima maklumat berhubung pembayaran rasuah dan penyelewengan melibatkan syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas, Sapura Energy Berhad.
Menurut sumber, siasatan itu adalah berdasarkan siasatan awal yang dibuka SPRM pada penghujung 2023 yang juga melibatkan tuntutan-tuntutan yang dibuat syarikat berkenaan.
"Dua kertas siasatan ini dibuka menjurus kepada kegiatan pengubahan wang haram dan penyelewengan melibatkan tuntutan-tuntutan sekitar 2018, ketika syarikat itu dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.
"Selain jenayah rasuah, siasatan juga akan tertumpu kepada isu kelemahan tata kelola dan kelemahan pengurusan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, suntikan dana kepada SEB bukan satu bentuk bailout, sebaliknya untuk membantu vendor yang terkesan akibat masalah kewangan dihadapi syarikat berkenaan.
Katanya, suntikan dana terbabit bukan diberi begitu sahaja, tetapi kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik untuk mengenal pasti masalah sebenar dihadapi syarikat itu.
#pengubahan wang haram #Sapura Energy #Anwar Ibrahim #SPRM
;