SPRM buka 21 kertas siasatan babit JPKK Pahang
Mohd Zalani Md Atan
Ogos 11, 2022 22:01 MYT
Ogos 11, 2022 22:01 MYT
KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 21 kertas siasatan yang melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pahang sejak 2018.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, daripada jumlah itu, satu kes telah dituduh di mahkamah dan masih dalam perbicaraan manakala dua lagi kes masih dalam siasatan.
Menurut Razim, lima kes pula diberikan surat untuk mereka memperbaiki kelemahan dalam prosedur JPKK dan 13 kes lagi tiada tindakan lanjut.
"Sebagai orang yang disiasat kita menyeru untuk mereka beri kerjasama SPRM menjalankan siasatan untuk kita menentukan samada mereka melakukan kesalahan ataupun tidak.," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penutup Program Antirasuah dan Tadbir Urus Dana Kerajaan dalam kalangan Pengerusi JPKK Pahang di Kuantan pada Khamis.
Kata Razmin penganjuran program itu memberi pendidikan, pengetahuan dan kesedaran kepada kepimpinan JPKK mengenai fungsi SPRM, kesalahan rasuah serta tanggungjawab JPKK dalam menangani isu rasuah setempat.
Seramai 218 Penghulu dan Pengerusi JPKK Kuantan, Maran, Rompin dan Pekan hadir pada program sehari itu.