SPRM buat pemeriksaan di rumah dipercayai milik Jho Low

Bernama
Jun 28, 2018 21:56 MYT
Lokasi sebuah unit kondominium dipercayai milik Jho Low di Kuala Lumpur telah diperiksa anggota penguatkuasa SPRM pada Khamis, 28 Jun, 2018. --fotoBERNAMA
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melakukan pemeriksaan di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kia Peng di sini, yang dipercayai milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi, berkata tindakan SPRM menghantar anggota dan pegawainya ke unit itu bukanlah satu serbuan tetapi hanya pemeriksaan biasa.
Beliau berkata tiada sebarang dokumen atau rampasan yang dilakukan.
Pemeriksaan itu dipercayai ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Jho Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan kes berkaitan SRC.
SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Nik Faisal Ariff Kamil, 47, yang memiliki kad pengenalan bernombor 710304-10-6303 mempunyai alamat terakhir di No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor.
Jho Low, 37, yang memiliki kad pengenalan bernombor 811104-07-5701 pula mempunyai alamat terakhir di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Azam Baki #Jho Low #kondominium #Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil #pemeriksaan #pulau pinang #rumah #serbuan #shah alam #SPRM #SRC International