SPRM beri Mirzan tempoh 30 hari lagi untuk isytihar harta
Astro Awani
Februari 17, 2024 17:01 MYT
Februari 17, 2024 17:01 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh lanjutan selama 30 hari kepada Tan Sri Mirzan Mahathir untuk mengisytiharkan harta.
Perkara tersebut disahkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, yang berkata lanjutan itu diberikan atas permohonan Mirzan sendiri.
"SPRM memberikannya lanjutan selepas beliau (Mirzan) memohon masa tambahan untuk mengisytiharkan hartanya," katanya ringkas pada Sabtu.
Pada 18 Januari lalu, SPRM mengeluarkan perintah notis mengikut Seksyen 36(1) (b) Akta SPRM 2009 terhadap Mirzan.
Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya, sama ada dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis itu.
Perintah dikeluarkan susulan siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya membabitkan penjualan dan pembelian Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).