SPRM bebas lakukan siasatan terhadap sesiapa

Bernama
Mac 3, 2017 12:47 MYT
AZALINA: SPRM berhak melakukan siasatan terhadap mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai sebuah badan bebas. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak melakukan siasatan terhadap mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai sebuah badan bebas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia adalah proses sistem perundangan dalam negara dan seseorang yang disiasat itu masih tidak terbukti bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman.
"Bagi saya ini perkara biasa. SPRM sebagai badan bebas berhak menyiasat. Saya sebagai menteri bertanggungjawab dalam hal undang-undang, seseorang yang sedang disiasat itu masih belum terbukti bersalah lagi.
"Itu hak siasatan, manakala pihak yang memberi kerjasama itu dilihat tanggungjawab mereka sebagai yang disiasat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu rasuah hartanah melibatkan anak dan pegawai khas kerajaan Johor, baru-baru ini.
Mengulas lanjut berhubung tangkapan yang sedang giat dilakukan SPRM melibatkan kes rasuah berprofil tinggi, Azalina percaya ia pendekatan yang baik dan menunjukkan SPRM bebas serta tidak ada tekanan dalam aspek-aspek yang sering disebut orang ramai.
Beliau berkata ia juga menunjukkan bukti bahawa SPRM sebagai sebuah agensi yang profesional.
"Bagi saya, kalau kita tahu kita tidak ada buat salah, kita bela diri. Sebab kita ada sistem perundangan bebas dalam negara.
"Setiap yang disiasat dan dituduh ada hak untuk membela diri. Kalau disabitkan, kita ada hak merayu ke atas sabitan itu dan ini proses perundangan dalam negara kita.
"Sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, kita haruslah hormati semua pihak yang menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka," katanya.
Terdahulu, Azalina menyampaikan sumbangan di bangunan Gabungan Pergerakan Wanita (GPW) Felda Air Tawar 5, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pengerang merangkap ADUN Tanjung Surat, Datuk Ir Syed Sis Syed A Rahman dan Ketua Kampung Felda Air Tawar 5 Khalid Ismail.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Azalina Othman Said #Felda Air Tawar #GPW #SPRM