SPRM: Azam Baki perlu direhatkan, elak jadi liabiliti - Rasuah Busters

Hafizi Rosli
Januari 7, 2022 11:18 MYT
Rasuah Busters berpendapat Azam (gambar) perlu direhatkan seketika bagi membuka ruang buat siasatan secara telus dijalankan tanpa ada persepsi agensi itu akan melindungi ketuanya sendiri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki perlu direhatkan seketika supaya dapat mengelak daripada menjadi liabiliti kepada siasatan, kata Rasuah Busters.
Menurut Ketua Sekretariatnya, Nurhayati Nordin, tindakan itu juga bagi membuka ruang buat siasatan secara telus dijalankan tanpa ada persepsi agensi itu akan melindungi ketuanya sendiri.
"Keadilan itu bukan sahaja perlu dilakukan, tetapi perlu dilihat dilakukan.
"Kami percaya dengan merehatkan beliau, ia bakal beri ruang kepada satu siasatan terperinci, telus, fokus dan tanpa sebarang liabiliti atau persepsi seperti melindungi ketuanya.
"SPRM sedang alami defisit kepercayaan. Badan ini sepatutnya menjalankan tanggungjawab untuk menjaga integriti dan amanah yang cukup besar," katanya dalam Buletin AWANI pada Jumaat.
SEMUA MENGENAI KONTROVERSI MEMBABITKAN AZAM BAKI DI SINI
Kempen #RasuahBusters merupakan gelombang gerakan oleh rakyat demi rakyat untuk menghapuskan budaya memberi atau menerima rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa di dalam ekosistem di negara ini.
Dalam masa sama, jelas Nurhayati, langkah merehatkan mereka yang terpalit dengan sebarang skandal boleh memberi ruang untuk membersihkan nama individu atau organisasi itu sendiri.
"Pada waktu ini, ia bukan lagi masalah peribadi tetapi secara profesionalnya, jika beliau berehat, maruah dari sudut individu, malah organisasi juga, akan dapat dibersihkan.
"Dalam masa sama, tugas hakiki SPRM untuk menyiasat, memeriksa, membongkar isu rasuah dapat dijalankan dengan sesempurna yang mungkin," katanya.
Pengurusan persepsi, tegas beliau, sangat penting terutama ketika rakyat sudah banyak didendang dengan berita mengenai skandal-skandal rasuah serta salah guna kuasa melibatkan sektor awam dan swasta.
#KitaReset | Kembalikan kepercayaan kepada institusi
#Azam Baki #SPRM #Rasuah #RasuahBusters
;