SPRM anjur Program Inisiatif Pencegahan Rasuah melalui pemerkasaan amalan perakaunan dan pengauditan

Kenyataan Media
Ogos 10, 2024 09:43 MYT
Menurut Mohd Azwan, menerusi program ini kelak, ia secara tidak langsung menyokong hasrat Kerajaan dalam melaksanakan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028. - Foto SPRM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Analisa Kewangan (BAK), akan menganjurkan Program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan bagi memerangi jenayah kewangan terutama rasuah dan salah guna kuasa.
Program yang julung kali melibatkan Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM), Akauntan Negara Malaysia (ANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Institut Akauntan Malaysia (MIA), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) serta Universiti Multimedia akan dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Haji Azam Baki pada 14 Ogos 2024 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Turut sama akan hadir dalam majlis perasmian ini ialah Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Akauntan Negara Malaysia, Puan Nor Yati Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin; Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Encik Rezy Izwan Ramly.
Pengarah BAK SPRM, KPKPj Mohd Azwan Ramli berkata, program ini juga akan turut disertai oleh pegawai dari SPRM, agensi kerajaan dan badan berkanun, universiti serta badan profesional melibatkan sesi perkongsian pengalaman dan sesi libat urus bertujuan untuk membentuk kerjasama strategik melalui aktiviti-aktiviti yang akan dirancang. Beliau berkata, semua pihak yang hadir juga akan berkongsi pandangan dan kepakaran untuk mengenal pasti amalan terbaik dalam bidang perakaunan serta pengauditan di negara ini bagi menangani jenayah kewangan terutamanya jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
“Menerusi program ini kelak secara tidak langsung menyokong hasrat Kerajaan dalam melaksanakan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti di dalam sektor awam dan swasta.
“Usaha ini juga dilihat selari dengan kehendak Artikel 12 United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) memperkukuh piawaian perakaunan dan pengauditan,” katanya.
Minggu lepas, sebagai usaha bersama untuk mengukuhkan pelaksanaan UNCAC bagi memerangi rasuah, SPRM dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) telah menganjurkan Bengkel Susulan Penilaian dan Pelaksanaan UNCAC yang bertujuan untuk mengenal pasti bidang-bidang khusus yang memerlukan perhatian dan mengenalpasti langkah-langkah seterusnya untuk usaha pencegahan rasuah yang lebih berkesan.
#SPRM #Program Inisiatif Pencegahan Rasuah #amalan perakaunan #amalan pengauditan #Mohd Azwan Ramli