SPRM akan rayu keputusan mahkamah tolak saman lucut hak RM194 juta

Hakim Rahman
Jun 23, 2020 06:24 MYT
Rayuan akan dikemuka pihak Jabatan Peguam Negara kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemuka rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman kerajaan melucutkan hak wang berjumlah RM194 juta berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rayuan akan dikemuka pihak Jabatan Peguam Negara kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat.
“Tempoh rayuan yang diberikan adalah dua minggu daripada tarikh keputusan mahkamah,” kata SPRM dalam kenyataan.
Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kerajaan untuk melucut hak wang UMNO, Wanita MCA, Binsabi Sdn. Bhd. dan Perano Sdn. Bhd berjumlah RM194 juta yang didakwa berkaitan dengan dana 1MDB.
Keputusan itu dibuat Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas mendengar hujah yang dibangkitkan sewaktu perbicaraan.
Menurut peguam, antara hujah yang dikemukakan ialah wang yang disita SPRM itu bukan dana awam atau dana 1MDB dan tiada sebarang keadaan khas yang membolehkan mahkamah menggantung keputusan menolak pelucutan hak itu.
BACA: 80 individu, entiti terima notis kompaun RM420 juta
SPRM membeku wang daripada empat entiti itu pada Jun 2018 kerana didakwa berkaitan skandal 1MDB.
Mahkamah sama pada 7 Februari membuang permohonan melucutkan hak Umno ke atas wang itu kerana wang yang dibekukan itu tidak boleh dikatakan wang yang Umno terima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pelucuthakan itu difailkan bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) bagi mendapatkan kembali wang yang didakwa wang 1MDB yang dipindahkan daripada akaun Najib ke entiti berkenaan.
#1Malaysia Development Berhad #Mahkamah Rayuan #Najib Razak #Peguam Negara #Rasuah #SPRM #UMNO