SPRM akan jumpa Anwar isu siasat Daim
Astro Awani
Januari 19, 2015 13:55 MYT
Januari 19, 2015 13:55 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu siasatan yang dilakukan terhadap bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, selain Anwar, mereka turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai bukti supaya bekerjasama dengan agensi berkenaan.
"Anwar mendakwa dia mempunyai bukti yang kukuh berkenaan kes ini. Kami juga telah menemu bual Tun Daim baru-baru ini.
"Keterangan yang diberikan oleh Tun Daim, Anwar dan lain-lain saksi akan dikemukakan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan seterusnya kepada Panel Penilaian Operasi (PPO), badan bebas yang memantau operasi SPRM," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan sedia bekerjasama dengan SPRM jika siasatan dilakukan terhadap Tun Daim.
Anwar berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk membantu siasatan namun mahu SPRM bersikap profesional ketika menjalankan tugasan itu.
Dalam pada itu kata Mohd Shukri, pihaknya sudah membuat siasatan ke atas Tun Daim pada 1998 dan memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) diambil.
"Siasatan telah dijalankan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) pada tahun 1998 dan Timbalan Pendakwa Raya yang meneliti kes ini pada masa itu telah membuat keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).
"SPRM percaya usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya setiap anggota masyarakat bekerjasama dengan SPRM," ujarnya.
Sebelum ini, Anwar mendakwa mempunyai 'bukti' penyalahgunaan kuasa Daim selain berharap SPRM tidak hanya menyasarkan kepada siasatan perniagaan perbankan Daim semata-mata.
15 tahun lepas, Anwar penah membuat laporan yang menuduh Daim mengaut berbilion ringgit melalui Bank Africa dan Eropah Timur menggunakan proksi.
Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin mendesak SPRM menyiasat Daim atas dakwaan yang sama.
Daim ketika mengulas dakwaan tersebut menegaskan dia sedia bekerjasama dengan SPRM dan yakin badan pencegah rasuah itu mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.