SPRM, AFP teroka kerjasama bidang siasatan kewangan, perisikan

Bernama
Oktober 11, 2023 19:30 MYT
Timbalan Pesuruhjaya (Keupayaan Pakar dan Antarabangsa) AFP Lesa Gale (kiri), melakukan kunjungan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di ibu pejabat SPRM hari ini. - Foto Facebook SPRM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Australian Federal Police (AFP), akan meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang siasatan kewangan dan perisikan, serta isu rasuah termasuk pengubahan wang haram.
Perkara itu dizahirkan ketika Timbalan Pesuruhjaya (Keupayaan Pakar dan Antarabangsa) AFP Lesa Gale, melakukan kunjungan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Dalam kenyataan SPRM yang dikeluarkan sempena kunjungan itu, Azam berkata SPRM menyambut baik hasrat AFP untuk mengadakan kerjasama pada masa hadapan, selain turut berbincang mengenai beberapa agenda penting berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa, melibatkan kedua-dua negara.
"SPRM terbuka dan mengalu-alukan peluang kerjasama ini, terutamanya berkaitan bidang siasatan kewangan serta perisikan.
"Selain peluang untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU), sebagai tanda kerjasama strategik antara kedua dua negara melibatkan pelbagai isu, khususnya membabitkan rasuah termasuk pengubahan wang haram, selain peluang mengadakan beberapa program latihan pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata SPRM juga mengharapkan kerjasama serta sokongan yang berterusan AFP, terutamanya dalam perkongsian amalan terbaik bagi membanteras rasuah, serta grand corruption yang merupakan penyumbang kepada rasuah paling tinggi, dalam negara.
Turut hadir dalam pertemuan kira-kira sejam itu ialah Komander AFP Asia Tenggara Warwick Macfarlane dan Pegawai Kanan AFP Nick Moger dan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang haram (AML) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.
-- BERNAMA
#SPRM #AFP #kerjasama bidang siasatan #perisikan #Azam Baki #Lesa Gale #Australian Federal Police
;