SPRM adakan pertemuan di Pejabat PM bagi tetapkan tarikh ambil keterangan Najib

Bernama
Disember 3, 2015 18:29 MYT
SPRM berkata pertemuan itu diadakan berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri bagi menentukan tarikh mengambil keterangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
SPRM berkata pertemuan itu diadakan berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.
"SPRM akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 12 Nov lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.
Ketika itu beliau berkata SPRM menunggu tarikh untuk menemu bual Najib berhubung isu yang berkaitan dengan siasatan itu.
Najib pada hari yang sama, berkata beliau bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM.
SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
#Abu Kassim Mohamed #Najib Razak #pejabat perdana menteri #SPRM
;