SPR tidak punya kuasa kawal derma politik

Marlina Manaf
Ogos 4, 2015 20:00 MYT
ABDUL AZIZ: Di bawah undang-undang sedia ada, SPR hanya mempunyai kuasa meminta laporan perbelanjaan calon kempen pilihan raya semasa tempoh rasmi kempen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mengawal sumbangan atau derma politik kepada mana-mana parti politik.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagaimanapun memaklumkan di bawah undang-undang sedia ada, SPR hanya mempunyai kuasa meminta laporan perbelanjaan calon kempen pilihan raya semasa tempoh rasmi kempen.
"Had perbelanjaan bagi seorang calon kerusi Parlimen adalah RM200,000 manakala bagi seorang calon Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah RM100,000," jelas Abdul Aziz kepada Astro AWANI.
Menurutnya, laporan perbelanjaan diambil kira daripada masa atau hari penamaan calon sehinggalah hari pengumuman rasmi pilihan raya.
"Laporan itu perlu dikemukakan calon pilihan raya kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan," tegas Abdul Aziz.
Sekiranya laporan itu gagal dikemukakan kepada SPR dan tidak mendapat maaf melalui mahkamah, calon yang terlibat tidak boleh bertanding dalam dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun selepas itu.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz bagaimanapun memaklumkan SPR tidak mempunyai kuasa menyiasat dakwaan salah laku kewangan sepanjang kempen.
"SPR tidak menyiasat laporan kewangan itu, namun pihak yang ada bukti dakwaan berkenaan salah laku kewangan seperti rasuah, perbelanjaan kempen melebihi had dibenarkan, pihak tersebut perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis untuk siasatan lanjut.
"SPR tidak mempunyai anggota penguatkuasaan untuk menyiasat," jelas beliau.
Abdul Aziz memaklumkan sekiranya terbukti wujud salah laku, SPRM atau polis akan meneruskan proses undang-undang di mahkamah.
"Keputusan sesuatu pilihan raya hanya akan terbatal sekiranya pihak yang didakwa didapati bersalah, dan dihukum penjara melebihi setahun," jelasnya.
Berdasarkan sejarah pilihan raya selama ini, Abdul Aziz memaklumkan semua laporan perbelanjaan yang diserahkan calon bertanding adalah mengikut had yang dibenarkan.
Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan SPRM berhubung kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM dalam kenyataannya semalam memaklumkan siasatan mendapati dana berjumlah RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bukan dari dana 1MDB.
Kenyataan itu turut memaklumkan penemuan dana berkenaan diperolehi susulan siasatan badan itu ke atas syarikat SRC International Sdn Bhd.
Laporan hasil siasatan berkenaan dana itu juga sudah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara, kata kenyataan itu.
#1MDB #Abdul Aziz Mohd Yusof #dana politik #derma politik #Najib Razak #pilihan raya #SPR
;