SPR terima 326,905 permohonan pendaftaran pemilih pada suku pertama 2017
Bernama
Mei 8, 2017 17:54 MYT
Mei 8, 2017 17:54 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 326,905 permohonan pendaftaran sebagai pemilih dalam suku pertama tahun ini, kata Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.
Jumlah itu terdiri daripada 242,691 pendaftaran pemilih baru dan 84,214 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR, katanya.
Selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi Suku Tahun 1/2017 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 9 Mei hingga 22 Mei ini di 960 tempat pameran di seluruh negara, katanya.
"Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baru atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada bulan Januari, Febuari dan Mac 2017 dinasihatkan menyemak Rang DPT Suku Tahun 1/2017,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemohon bagi pendaftaran baru jika mendapati namanya tidak tersenarai dalam Rang DPT itu, boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan pendaftaran berkenaan pada waktu pejabat pada hari bekerja dalam tempoh pameran itu, katanya.
Abdul Ghani berkata pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT Suku Tahun 1/2017 di satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
Seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan subperaturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, katanya.
"Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT Suku Tahun 1/2017,"katanya.
Abdul Ghani berkata SPR juga akan mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih semasa tempoh pameran Rang DPT itu.
"Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih atas sebab-sebab tertentu antaranya ialah telah meninggal dunia atau lucut hak warganegara,"katanya.
--BERNAMA