SPR: Senarai daftar pemilih adalah bersih

Bernama
Februari 6, 2013 22:12 MYT
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberi jaminan senarai daftar pemilih adalah bersih dan proses pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan menjadi yang terbaik.
Beliau berkata SPR membersihkan senarai daftar pemilih dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana JPN mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu adalah warganegara atau bukan warganegara.
Sementara itu, seramai 1,574 rakyat malaysia di luar negara sudah mendaftar untuk mengundi setakat ini.
Negara paling ramai rakyat Malaysia mendaftar ialah Australia, diikuti United Kingdom, Amerika Syarikat, China dan Qatar sejak pendaftaran secara talian terus dilancarkan pada 21 Disember lepas.
Jelas beliau, daftar pemilih sekarang adalah sekitar 13.3 juta pengundi termasuk di Sabah bagi tempoh sehingga Disember tahun lalu.
Abdul Aziz berkata meskipun timbul pelbagai persepsi ekoran pendedahan baru-baru ini dalam siasatan suruhanjaya diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di sabah, SPR yakin proses PRU-13, terutama di Sabah akan menjadi yang terbaik.
Persepsi itu tidak seharusnya wujud hanya semata-mata berdasarkan kenyataan satu atau dua orang saksi kerana terdapat lebih 100 orang yang akan memberikan keterangan kepada RCI.
Abdul Aziz berkata empat pegawai SPR akan dipanggil menjadi saksi dalam sesi pendengaran RCI itu termasuk daripada bahagian komputer, pengurusan, pendaftaran dan pengarah SPR Sabah.
Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kesimpulan tentang perkara yang disebut dalam prosiding RCI itu.
Katanya SPR telah memperkenalkan pembaharuan dalam usaha mengemaskini serta memperbaiki proses pilihan raya, termasuk penggunaan dakwat kekal, undi awal, wujudnya akses media bagi parti-parti politik, pemerhati antarabangsa dan pemerhati tempatan.
#Abdul Aziz Mohd Yusof #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;