SPR sedia jalankan tugasan hadapi PRN di enam negeri

Sinar Harian
Mei 30, 2023 08:30 MYT
Dari kiri, Ikmalrudin, Akmal Eirfan dan Azizi Fickry semasa kunjungan balas Kumpulan Media Karangkraf. - Gambar SINAR HARIAN
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia untuk menjalankan tugasan setelah ketua menteri dan menteri besar di Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu serta Pulau Pinang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, gerak kerja seperti menentukan tarikh keluar writ, penamaan calon, tempoh berkempen, undi awal dan hari pengundian akan ditetapkan seusai DUN dibubarkan.
“Kuasa bubar ini tetap ada budi bicara (Sultan atau ketua negeri) dan SPR akan mula kerjanya apabila sudah bubar dan akan tentukan tarikh-tarikh,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan balas Kumpulan Karangkraf ke Ibu Pejabat SPR yang diketuai Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi dan disertai Ketua Pegawai Operasi Ultimate Print Sdn Bhd, Azizi Fickry.
Tambah Ikmalrudin, pilihan raya wajib dilakukan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan mengikut Perlembagaan negeri masing-masing.
“Kena ingat, tarikh bubar ini kita akan ikut tarikh negeri masing-masing. Kalau bubar DUN serentak lagi bagus,” katanya.
Tempoh lima tahun bagi pilihan raya bagi negeri Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan berakhir bermula Jun ini hingga awal Ogos yang memerlukan PRN dilaksanakan.
Tambah beliau, kos perbelanjaan untuk melaksanakan PRN di enam negeri tersebut mencecah sehingga RM420 juta. - Sinar Harian
#PRN #SPR #PRN di enam negeri #bubar DUN
;