SPR sasar 80 peratus anggota tentera dan polis keluar undi awal

Sahlizah Mohamed
April 9, 2019 12:37 MYT
Azhar Harun memerhati proses pengundian awal di pusat pengundian awal Pangkalan Udara Bandar Sri Sendaya, Negeri Sembilan. - Gambar Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan pemilih berdaftar melibatkan anggota tentera dan polis dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah sebanyak 80 peratus.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berharap sasaran berkenaan dapat dicapai selepas tamat tempoh mengundi pada pukul 12 tengah hari.
“Sasaran 80 peratus dapat dicapai. Undi awal berjalan lancar hasil pemantauan saya. Jumlah undi awal sebenarnya tak banyak pun, daripada 118, (sebanyak) 110 mengundi (awal) dan lapan undi pos.
“Daripada jumlah itu, 74 tentera mengundi di saluran di kem tentera dan 36 di sini (Balai Polis Rantau),” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas meninjau saluran mengundi menjelang hari pengundian awal di Balai Polis Rantau pagi tadi.
Turut hadir Timbalan Pengerusi, Dr Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.
Seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 orang pengundi awal bagi PRK Rantau Pilihan akan mengundi pada hari ini.
Mereka merupakan 74 orang anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 orang anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.
Baki seramai lapan orang pengundi yang terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos.
Kedua-dua pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup pada jam 12 tengah hari.
#Azhar Azizan Harun #Pengerusi SPR #prk rantau #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;