SPR perlu segera keluarkan SOP menyeluruh untuk PRN Melaka - G. Manimaran
Israr Khalid
Oktober 27, 2021 07:45 MYT
Oktober 27, 2021 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah diumum dan kerajaan pun sudah menyatakan ketetapan berhubung batas berkempen kali ini.
Maka tegas mantan ahli tetap Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC), G. Manimaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu segera mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyeluruh merangkumi tempoh dari penamaan calon hingga acara pasca hari mengundi.
Beliau sedar seperti semua pihak SPR risau dan mungkin mengambil langkah tunggu dan lihat, tetapi ia perlu dibuat secepat mungkin memandangkan waktunya sudah semakin hampir dan semua pihak berkaitan mahu membuat persediaan berdasarkan apa yang ditetapkan SPR.
“Kita ada pengalaman dalam negara, SPR ada pengalaman lebih 60 tahun kendalikan pilihan raya, juga boleh belajar daripada negara-negara lain (yang mengadakan pilihan raya dalam tempoh pandemik).”
Kata beliau, dalam merangka SOP terbaik dalam suasana berbeza dengan COVID-19 ini, SPR perlu mendapatkan pandangan semua pihak yang terlibat dengan mengadakan pertemuan bersama parti politik dan rakyat juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
“Saya rasa ini masa yang sesuai, sesegera mungkin mengadakan SOP yang diterima semua, oleh semua parti politik, diterima oleh rakyat itu sendiri kerana mereka yang akan mengundi.
“(Tidaklah mereka tertanya-tanya) “macam mana saya nak keluar mengundi esok?” Apa SOP hari mengundi, SOP pengundi awal dan sebagainya. Ia perlu disegerakan.”
G. Manimaran, yang juga menulis buku berjudul 'Pilihan Raya Demokrasi Malaysia' menjadi tetamu program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu.
Tonton di sini:
SPR perlu segera keluarkan SOP menyeluruh untuk PRN Melaka - Dr. G. Manimaran
Agenda AWANI: SOP PRN | Parti politik pening?