SPR: Pembangkang perlu henti menabur fitnah

Astro Awani
Mei 12, 2013 11:01 MYT
Pemimpin politik terutama pembangkang yang mempertikaikan proses Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) diminta mengemukakan bantahan mengikut saluran yang betul selain berhenti menabur fitnah.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengegaskan sebagai tokoh masyarakat, pemimpin perlu menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat serta bertindak mengikut lunas perlembagaan.
Wan Ahmad menyifatkan tindakan pembangkang menghasut rakyat menolak keputusan PRU13 sebagai satu tindakan terdesak.
"Pilihan raya sudah habis, tempoh berkempen sudah habis, tutup chapter, tutup fitnah, berhentikan segala dakyah-dakyah songsang ni yang menghancurkan perpaduan rakyat. Kumpulkan bukti, bariskan peguam yang hebat-hebat bawa ke mahkamah jangan fitnah lagi. inilah dia masalah orang yang terdesak dah hilang kewarasan akal fikiran,” kata Wan Ahmad dengan tegas.
Jelas beliau, mengikut perlembagaan, pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat petisyen bantahan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan.
Beliau pada masa sama berkata SPR memandang serius semua tuduhan yang dilemparkan terhadap Suruhanjaya itu dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.
Pihak berkuasa juga diminta agar membendung penyebaran fitnah membabitkan SPR dan PRU13 kerana dibimbangi boleh merosakkan negara.
#Datuk Wan Ahmad Wan Omar #PRU13
;