SPR pamer rang daftar pemilih tambahan

Bernama
Januari 17, 2013 16:24 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan Rang Daftar Pemilihan Tambahan (Rang DPT) bagi Suku Tahun 4/2012 di 949 lokasi seluruh negara selama 14 hari bermula hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said dalam kenyataan Khmis berkata Rang DPT itu melibatkan urusan permohonan pendaftaran sebagai pemilih bagi Oktober, November dan Disember tahun lepas.
"SPR telah menerima sebanyak 295,122 pemohonan pendaftaran sebagai pemilih yang terdiri daripada 243,751 pemilih baharu dan 51,371 pemohonan pertukaran alamat pusat mengundi pemilih yang telah berdaftar dengan SPR.
"Pemohon dinasihatkan menyemak Rang DPT itu. Bagi permohonan pendaftaran baharu jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai, bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserah kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran berkenaan," katanya.
Sabri berkata pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang DPT itu boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
#Rang DPT #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;