Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan sejumlah 32,163 nama pemilih berdaftar dengan kad pengenalan berstatus tidak aktif dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak beberapa tahun lepas, bermula esok sehingga 12 Nov.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, nama-nama tersebut memerlukan pengesahan oleh pemilih sendiri, waris atau saksi yang mengenali pemilih berkenaan bagi tujuan pengemaskinian daftar pemilih.

Menurutnya, mereka yang mempunyai maklumat dan berhasrat membuat pengesahan status pemilih yang tersenarai, dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan untuk mengisi Borang Maklum Balas Semakan Daftar Pemilih.

"Sekiranya pengesahan adalah ke atas pemilih yang telah meninggal dunia, pemaklum perlu membuat akuan bersumpah dan disertakan bersama dengan borang maklum balas tersebut. Maklum balas berkenaan boleh dikemukakan sehingga 31 Dis 2018," katanya.

Di samping itu, pada tarikh yang sama, SPR juga akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Ketiga Tahun 2018 (ST3/2018).

Azhar Azizan berkata sepanjang tempoh urusan pendaftaran pemilih bagi ST3/2018, SPR menerima sebanyak 15,933 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 7,044 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

Katanya pemohon terbabit dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT ST3/2018 dan sekiranya nama mereka tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

"Bagi pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT ST3/2018, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C."

Azhar Azizan berkata, semasa tempoh pameran Rang DPT ST3/2018, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih, yang telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan.

Sebarang pertanyaan berhubung pameran senarai nama pemilih untuk semakan serta pengesahan dan Rang DPT ST3/2018 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana pejabat pilihan raya negeri.

Pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT ST3/2018. -- Bernama