SPR nafi nama mendiang lelaki dimasuk semula dalam daftar pemilih
Bernama
April 26, 2018 04:46 MYT
April 26, 2018 04:46 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan bahawa nama seorang lelaki yang telah meninggal dunia yang pernah dikeluarkan daripada daftar pemilih, telah dimasukkan semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR telah membuat semakan segera terhadap maklumat yang tular di media sosial berhubung nama mendiang MM Narayanan Nair T. Narayanan Nair yang meninggal dunia pada 2003.
"SPR mendapati nama pemilih tersebut tidak pernah dipotong dan namanya kekal dalam senarai daftar pemilih sejak ia didaftarkan pada 1994.
"Sehubungan itu, dakwaan pihak berkenaan mengenai nama mendiang pernah dikeluarkan dan dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih menjelang PRU14 adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.
Mohd Hashim berkata demikian susulan kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Khamis berkaitan isu penularan maklumat mendiang MM Narayanan Nair yang masih tersenarai dalam daftar pemilih PRU14.
JPN berkata pihaknya telah menghubungi keluarga mendiang bagi menjelaskan kekeliruan tersebut dan ia difahami serta diterima baik oleh mereka.
Menurut Mohd Hashim, SPR akan mengambil tindakan segera memotong nama pemilih berkenaan dalam daftar pemilih PRU14.
"SPR menegaskan bahawa ia tidak boleh sewenang-wenangnya memotong nama seseorang pemilih tanpa pengesahan kematian oleh JPN," katanya. -- Bernama
#keluarga
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#meninggal dunia
#Mohd Hashim Abdullah
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRU14
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya