SPR mahu kuasa audit dana kempen pilihan raya - Abdul Aziz

Astro Awani
Ogos 5, 2015 06:45 MYT
ABDUL AZIZ: Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mendaftarkan parti-parti politik perlu melihat secara terperinci berkenaan sumber kewangan dan sumbernya.
Had perbelanjaan dana dalam kempen politik perlu dikaji semula selain dijalankan pemantauan terperinci mengenai kesahihan sumber dan penggunaan dana tersebut.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff berkata demikian melalui temu bual dalam Buletin Awani hari ini.
“Dalam suasana yang berlaku sekarang ini, saya ingin syorkan agar had perbelanjaan (dana politik) perlu dikaji semula.
“Mungkin juga SPR diberi kuasa untuk mengaudit iaitu memastikan bahawa jumlah yang dibenarkan untuk berbelanja itu memang benar-benar digunakan dalam kempen pilihan raya,” ujar beliau.
Abdul Aziz juga mengesyorkan agar Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mendaftarkan parti-parti politik perlu melihat secara terperinci berkenaan sumber kewangan dan sumbernya.
“Adakah datangnya dari syarikat-syarikat berdaftar atau dari pihak-pihak tertentu yang tidak diingini. Juga perlu dipastikan ia datang dari dalam atau luar negara,” jelas beliau.
Semua itu bertujuan agar setiap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya dapat menggunakan peruntukan kewangan bagi tujuan kempen secara saksama.
“Ada banyak model (saluran dana politik yang betul) di luar negara. Ada yang menentukan supaya sumber-sumber itu mestilah daripada syarikat-syarikat yang sah dari segi pendaftaran. Maksudnya bukanlah daripada pihak-pihak tertentu yang menyumbangkan wang haram atau ‘black money’.
“Semua ini perlu dipantau supaya dapat memastikan sumber tersebut adalah sah,” ujar beliau.
Abdul Aziz berkata, secara asasnya parti-parti politik memang memerlukan dana bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran parti masing-masing.
Namun, SPR bertanggungjawab untuk memastikan parti politik menggunakan wang mereka untuk tujuan Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) mengikut peruntukan undang -undang sedia ada iaitu Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam peruntukan sekarang ini, parti politik hanya dibenar membelanjakan tidak lebih daripada RM200,000 untuk kerusi Parlimen dan tidak lebih daripada RM100,000 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh kempen rasmi.
Tempoh kempen rasmi itu adalah dari masa penamaan calon sehingga keputusan diumumkan oleh pegawai pengurus.
BACA: SPR cadang perundangan kawal dana asing semasa PRU
VIDEO: Datuk Akhbar Satar mengulas tentang pengisytiharan dana politik
#Abdul Aziz Mohd Yusoff #dana politik #kempen #parti politik #SPR #sumber kewangan