SPR keluar 188 kertas undi pos bagi PRK Kuala Kubu Baharu
Bernama
April 29, 2024 21:42 MYT
April 29, 2024 21:42 MYT
HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 188 kertas undi pos kepada pengundi yang berhak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata sebanyak 178 kertas undi pos bagi Kategori 1A dikeluarkan bagi petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.
"Sebanyak lapan undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); satu bagi Kategori 1C (agensi dan organisasi) serta satu bagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara (PTH), katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua empat calon yang bertanding.
"SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dan segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum jam 5 petang, 11 Mei ini (Sabtu)," katanya.
Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
PRK itu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao sebagai calon Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
SPR menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei.
-- BERNAMA