SPR, JPN tubuh pasukan petugas khas selaras undi 18 tahun
Bernama
Oktober 10, 2019 07:34 MYT
Oktober 10, 2019 07:34 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menubuhkan jawatankuasa petugas khas berhubung pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan pada Khamis berkata jawatankuasa itu bertindak menyelaraskan maklumat warganegara dan perkara lain yang berkaitan.
"Di samping itu, salah satu program kerjasama SPR dan JPN yang telah dirancang adalah mengadakan kempen secara besar-besaran bagi menggalakkan warganegara untuk mengemas kini alamat bermastautin terkini di JPN," katanya.
Azhar berkata walaupun usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada 1 Julai 2021, namun SPR akan berusaha untuk melaksanakannya secepat mungkin.
Dalam tempoh peralihan sebelum dikuatkuasakan, SPR bercadang untuk melantik Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) dalam kalangan ahli parti politik, katanya.
"Bagi tujuan ini, parti-parti politik boleh mengemukakan cadangan pelantikan ini kepada Ibu Pejabat SPR dan mana-mana pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara mulai sekarang," katanya.
Azhar berkata SPR turut mencadangkan agar pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri atau Perlembagaan Negeri bagi membolehkan calon berumur 18 tahun sebagai wakil dewan undangan negeri (DUN) dibuat semasa persidangan DUN yang dijangka pada November ini atau selewat-lewatnya Mac 2020.
Katanya pemilihan calon berumur 18 tahun sebagai wakil Dewan Rakyat telah mula dikuatkuasakan pada 11 Sept lepas.
"Kesemua pihak ambil maklum akan pindaan ini yang berkuatkuasa di peringkat Dewan Rakyat dan berharap ianya juga dapat dilaksanakan dengan segera di peringkat DUN," katanya.
Beliau berkata kesemua perkara itu telah diterangkan kepada 20 wakil parti politik dalam sesi libat urus bipartisan berhubung pelaksanaan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada 3 Okt lepas.
Azhar berkata SPR turut memaklumkan tentang pelaksanaan program-program pendidikan pengundi bertujuan memberikan kesedaran dan kefahaman tentang proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia terutamanya kepada golongan belia dan pelajar sekolah.
Beliau berkata SPR telah membangunkan modul khusus mengikut kumpulan sasaran iaitu modul pendidikan pengundi untuk belia lepasan sekolah dan modul pendidikan sivik untuk pelajar sekolah menengah.
"Sekiranya ada parti politik ingin mengetahui tentang perkara tersebut, SPR bersedia untuk memaklumkan kandungan terperinci modul tersebut," katanya.
Azhar berkata SPR akan terus mengadakan sesi libat urus dengan parti politik dan pelbagai pihak dari semasa ke semasa selain memaklumkan status pelaksanaan terkini undi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik
-- BERNAMA
#automatik
#Azhar Azizan Harun
#calon
#Dewan Rakyat
#DUN
#Jabatan Pendaftaran Negara
#jawatankuasa
#JPN
#libat urus
#parti politik
#Pendaftaran Pemilih
#pendidikan
#petugas khas
#pindaan
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#tempoh peralihan
#undang-undang
#Undi 18