SPR giat jalankan program didik belia fahami sistem pilihan raya
Madiha Abdullah
November 3, 2021 12:51 MYT
November 3, 2021 12:51 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan beberapa inisiatif dalam usaha memastikan pengundi 18 tahun keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara yang sedang giat dijalankan ialah program pendidikan pengundi yang diadakan bagi mendekati pengundi belia dan memberi kefahaman kepada mereka tentang proses pilihan raya.
"SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) melaksanakan pendidikan pengundi bagi mendekati warga belia. Ia bertujuan memberi kefahaman tentang proses pilihan raya selain menjawab isu berkaitan.
"Sejak pandemik melanda, akademi tetap meneruskan usaha ini secara maya dengan lebih 150 proram sudah diadakan. Turut diadakan adalah kerjasama dengan institut pengajian tinggi, melibatkan penyertaan lebih 1,400 pelajar.
"SPR juga ambil inisiatif prkongsian secara maya melalui laman sosial seperti Instagram, TikTok dan Facebook yang menjadi kegemaran anak muda," katanya dalam sesi Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Tuan Abdul Latiff Abdul Rahman meminta menteri menyatakan apakah langkah yang diambil oleh SPR untuk memastikan pengundi 18 tahun akan keluar mengundi pada Pilihan Raya umum nanti.
Dalam pada itu, Wan Junaidi juga menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan menjelaskan mengapa kerajaan perlu menunggu keputusan mahkamah berkaitan pelaksanaan Undi 18.
"Perlembagaan dipinda pada 2019, time frame pelaksanaan di bawah pindaan ini ialah sehingga 2023. Maka kalau ikutkan garis masa SPR, pelaksanaan semua proses akan siap pada September 2022.
"Banyak yang perlu dibuat, sistem daftar pengundi perlu dibersihkan, ada yang sudah meninggal dunia, ada yang masuk penjara, malah ada yang sudah berusia lebih 90 tahun, semua itu perlu dibersihkan.
"Tidak bermakna apabila perlembagaan dipinda, terus boleh dilaksanakan. Dan apabila COVID-19 melanda, ia juga menjadi faktor yang mengekang APR laksanakan tugas," ujarnya.