SPR bermesyuarat Selasa depan, bincang tarikh PRK Batu Sapi, Sabah
Ridauddin Daud
Oktober 6, 2020 16:56 MYT
Oktober 6, 2020 16:56 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 13 Oktober depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.
Mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya pada jam 10 pagi itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 6 Oktober 2020 berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.
“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut.
Dalam kenyataan sama, SPR juga mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia pada 2 Oktober 2020.
“Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang,” ujarnya.
Vui Keong meninggal dunia pada 11.50 pagi pada Jumat lepas di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.
Mendiang sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tenat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.
Vui Keong, 60, yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dan pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi undang-undang.
Beliau juga merupakan Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah.
Mendiang yang juga seorang peguam, meninggalkan isteri Datin Dr Lindai Lee dan empat orang anak.
#PRK
#pilihan raya kecil
#menteri
#Batu Sapi
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Dewan Rakyat
#Putrajaya
#Kota Kinabalu
#meninggal dunia
#Warisan
#Sabah
#Kota Belud
#pilihan raya umum
#Vui Keong