SPR bermesyuarat 13 Mei bincang PRK Parlimen Kuala Kangsar, Sungai Besar

Astro Awani
Mei 10, 2016 03:19 MYT
Pemakluman kekosongan kerusi itu telah dimaklumkan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada Isnin 9 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting kekosongan kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Ia akan membincangkan tarikh-tarikh penting Parlimen berkenaan seperti Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain.
SPR dalam kenyataannya berkata mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
Kekosongan kedua-dua kerusi Parlimen itu berlaku selepas Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon meninggal dunia akibat nahas helikopter pada 5 Mei lalu di Sebuyau, Sarawak.
Tambah SPR, pemakluman kekosongan kerusi itu telah dimaklumkan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada Isnin 9 Mei lalu.
#Mohd Hashim Abdullah #Noriah Kasnon #Parlimen Kuala Kangsar #SPR #Sungai Besar #Suruhanjaya Pilihan Raya #Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad