SPR belanjakan RM465 juta pada PRU13 - Rafizi

Haider Yutim
Julai 9, 2013 08:45 MYT
Anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membelanjakan RM465 juta pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
“Permintaan SPR untuk peruntukan tambahan kedua sebanyak RM60 juta melebihi RM400 juta daripada RM45 juta peruntukan asal, dan RM360 juta daripada rang undang-undang tambahan pertama,” kata beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen, Isnin.
Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR, memberitahu bahawa peruntukan tambahan itu bagi menampung urusan kos perbelanjaan persediaan awal yang digunakan pada 2012 sebelum PRU13.
Beliau berkata, SPR diberi peruntukan RM45 juta tetapi memerlukan tambahan RM360 juta sebelum kerana kemungkinannya mereka menjangkakan PRU13 akan diadakan pada 2012.
Rafizi juga menyoal mengapa peruntukan tambahan diperlukan jika ia tidak digunakan.
Semalam, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar telah menjelaskan bahawa peruntukan RM400 juta yang dinyatakan pada persidangan Dewan Rakyat adalah jumlah siling yang diluluskan Kementerian Kewangan dan bukan jumlah sebenar perbelanjaan mengendalikan PRU13.
Kata beliau, jumlah sebenar perbelanjaan PRU13 hanya akan dapat diketahui apabila akaun perbelanjaan PRU13 ditutup memandangkan bayaran masih dilakukan pejabat-pejabat SPR negeri.
#peruntukan #pilihan raya umum #PKR #PRU13 #Rafizi Ramli #SPR
;