SPR akur keputusan mahkamah, tiada PRK Pujut

Astro Awani
Jun 17, 2017 15:08 MYT
Mohd Hashim berkata, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas berkaitan perkara tersebut bagi memuktamadkan keputusan yang melibatkan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini. - Gambar fail
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini yang membatalkan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 Mei lalu, yang melucutkan keanggotaan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli DUN (ADUN) Pujut.
Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan keputusan mahkamah itu.
"Berdasarkan kepada keputusan itu juga, mahkamah turut memutuskan bahawa tiada kekosongan luar jangka telah berlaku dan ADUN tersebut masih lagi kekal status quo dan jawatannya itu perlu dikembalikan.
"Sehubungan dengan itu, SPR akur dengan perintah tersebut dan akan mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan keputusan mahkamah itu," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Hashim berkata, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas berkaitan perkara tersebut bagi memuktamadkan keputusan yang melibatkan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini.
Pada 19 Mei, SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) bagi DUN Pujut akan diadakan pada 4 Julai dan penamaan calon pada 20 Jun.
Pada 12 Mei lepas, DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai wakil rakyat daripada DAP bagi kerusi Pujut, kerana didakwa turut mempunyai kewarganegaraan Australia.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan berdasarkan fakta bahawa Dr Ting melepaskan kerakyatan Australianya tiga minggu sebelum pilihan raya.
#ADUN #Dr Ting Tiong Choon #kerakyatan Australia #Mahkamah Tinggi #pilihan raya kecil #Pujut #Suruhanjaya Pilihan Raya
;