SPR akan siasat aduan undi pos tidak sampai
Hafiz Marzukhi
Mei 9, 2018 15:07 MYT
Mei 9, 2018 15:07 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyiasat aduan berhubung isu undi pos yang tidak sampai.
Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR telah menerima aduan berhubung perkara ini dan akan melakukan siasatan.
"Kami akan menyiasat punca berlaku kelewatan penghantaran yang menyebabkan ada pengundi yang tidak menerima atau lewat menerima kertas undi mereka," katanya.
Isu ini timbul susulan beberapa netizen memuat naik kekecewaan mereka berhubung kelewatan penerimaan undi pos di media sosial.
Ada juga yang mengadu tidak langsung menerima undi pos mereka sehingga hari pengundian.
Sementara itu, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah memaklumkan kertas undi yang tidak dicop masih lagi boleh diterima mengikut pertimbangan Ketua Tempat Mengundi.
Jelasnya, jika ada kertas undi yang tidak dicop, ia adalah kes terpencil dan berlaku atas kesilapan petugas.
"Pengundi diminta untuk tidak bimbang kerana sekiranya Ketua Tempat Mengundi berpuas hati bahawa kertas undi telah dikeluarkan secara sah dan ia hanya merupakan kesilapan petugas dalam salurannya.
"Maka dia tidak boleh menolak mana-mana kertas undi dalam keadaan ia telah dikeluarkan secara sah," katanya.
Tambah beliau, pengundi diminta agar tidak terpedaya dengan mesej yang tular kerana proses pengiraan undi turut disaksikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk ejen-ejen calon.
"SPR percaya mesej tular tersebut cuba untuk menimbulkan situasi panik dan curiga dalam kalangan pengundi terhadap SPR," katanya dalam sidang media di Pejabat SPR di Putrajaya hari ini.