SPPP pelawa pihak berkelayakan kemuka cadangan untuk pajakan feri

Bernama
Januari 27, 2021 18:40 MYT
Pajakan feri ikonik Pulau Pinang ialah untuk tempoh 10 tahun dengan opsyen penyambungan lima tahun, kata Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng. - Gambar Astro AWANI/ HILAL AZMI
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mempelawa pihak berkelayakan mengemukakan cadangan masing-masing bagi tawaran pajakan feri ikonik Pulau Pinang untuk dijadikan muzium atau restoran terapung.
Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, dokumen tawaran permohonan cadangan (RFP) untuk tujuan itu akan dijual kepada umum bermula 29 Januari hingga 15 Februari dan tarikh tutup untuk mengemukakan cadangan ialah pada 19 Mac depan.
Pajakan ini ialah untuk tempoh 10 tahun dengan opsyen penyambungan lima tahun, katanya dalam kenyataan hari hari ini.
Menurutnya, tawaran itu selaras dengan keputusan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang berkenaan secara dalam talian melalui www.penangport.gov.my.
Sementara itu, Tan berkata, susulan perbincangan dengan kerajaan negeri yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari pada 11 Januari lalu, SPPP bersetuju menghadiahkan sebuah feri kepada kerajaan negeri selepas mengambil kira hubungan serta kerjasama baik kerajaan Pulau Pinang selama ini.
Bermula 1 Januari lepas, perkhidmatan bot laju telah digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki menggantikan feri ikonik yang sudah beroperasi kira-kira 126 tahun di negeri ini.
Feri sedia ada pula hanya akan digunakan bagi membawa penunggang basikal dan motosikal hingga Julai 2022 manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya. - BERNAMA
#feri #pulau pinang #feri ikonik #Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang #SPPP #tawaran permohonan cadangan #RFP #muzium #restoran terapung #kerajaan pulau pinang
;