SPP harap negara lain turut bawa kes Israel ke ICJ
Sinar Harian
Januari 11, 2024 08:00 MYT
Januari 11, 2024 08:00 MYT
SHAH ALAM: Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) berharap negara-negara lain turut mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sama seperti dilakukan Afrika Selatan.
Jurucakapnya, Maria Chin Abdullah turut berharap mahkamah akan bertindak segera dan adil untuk mengakhiri genosid oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang terjajah.
"Kami kagum dengan tindakan yang diambil Afrika Selatan untuk menghentikan tindakan genosid Israel di Gaza yang sangat tepat pada masanya dan satu langkah ke arah memastikan akauntabiliti serta keadilan kepada negara Palestin yang dilanda pembunuhan kejam.
"Semua pihak tidak boleh lagi berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa ketika pembunuhan beramai-ramai, pengusiran penduduk, kematian kanak-kanak serta kebuluran terlihat secara langsung di hadapan kita. Israel telah melampaui batas akal budi kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan.
Afrika Selatan pada 29 Disember lalu memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana rejim itu telah melakukan genosid di Gaza.
Menurut kerajaan tersebut, tindakan Israel itu sebagai genosid dan perbuatan sedemikian dilakukan dengan niat untuk menghapuskan lebih ramai rakyat Palestin di Gaza.
Menurut Maria, pihaknya mengagumi ketegasan dan keberanian Afrika Selatan dalam mempertahankan hak dan nilai kemanusiaan.
"Kami percaya tindakan mulia ini membuatkan rakyat Republik Afrika Selatan berdiri bangga di peringkat antarabangsa.
"Kami melihat prosiding undang-undang yang diambil oleh Afrika Selatan ini dengan penuh hormat dan pengharapan," katanya.
Setakat Isnin, jumlah kematian telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 22,835 rakyat Palestin, seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza dan sejumlah 58,416 dilaporkan cedera. Hampir dari 70 peratus dari jumlah korban adalah wanita dan kanak-kanak.
Afrika Selatan akan membentangkan prosidingnya kepada ICJ pada 11 Januari ini. - Sinar Harian