SPP akan tentukan pengganti TKPN Razarudin Hussain - KPN Acryl Sani

Hilmi Malik
Mac 3, 2023 13:40 MYT
Calon yang bakal menggantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain yang akan bersara wajib pada 15 Mac ini akan diketahui kelak.
KUALA LUMPUR : Calon yang bakal menggantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain yang akan bersara wajib pada 15 Mac ini akan diketahui kelak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, perkara itu akan diputuskan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) menerusi satu mesyuarat khas yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Terdapat beberapa calon layak diberi pertimbangan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut," katanya ketika sidang media selepas hadir Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 di Bukit Aman pada Jumaat.
Selain jawatan berkenaan, terdapat lagi beberapa jawatan tertinggi dalam PDRM akan diputuskan berikutan mereka yang bersara wajib pada usia 60 tahun.
Selain Razarudin, Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Zaini Jass juga antara individu yang bersara wajib pada 9 Mac.
Ini diikuti Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan pada 16 April dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.
#Bukit Aman #PDRM #Acryl Sani Abdullah Sani #Ketua Polis Negara
;