SPNB giat lakukan kerja-kerja akhir siapkan Taman Seri Molek Perdana

Astro Awani
Julai 13, 2022 19:50 MYT
Jumlah keseluruhan kediaman di Fasa 1, 2 dan 3 Projek Taman Seri Molek Perdana adalah sebanyak 972 unit merangkumi Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah, Pangsapuri Kos Sederhana dan Rumah Pangsa Kos Rendah. - SPNB
KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang giat melakukan kerja-kerja akhir menyiapkan projek Taman Seri Molek Perdana di Johor Bahru bagi memastikan projek tersebut dapat diserahkan kepada pembeli dengan kadar segera.
Menerusi satu kenyataan pada Rabu, SPNB berkata pihaknya kini akan memastikan kontraktor menyiapkan projek itu dan menyerahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada suku keempat tahun ini.
“Untuk makluman, jumlah keseluruhan kediaman di Fasa 1, 2 dan 3 Projek Taman Seri Molek Perdana adalah sebanyak 972 unit merangkumi Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah, Pangsapuri Kos Sederhana dan Rumah Pangsa Kos Rendah.
“SPNB juga akan memastikan hak-hak setiap pembeli adalah terjamin seperti mana yang termaktub di dalam Perjanjian Jual Beli yang telah ditandatangani oleh para pembeli sebelum ini.
“SPNB komited dalam menyokong hasrat kerajaan ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’ yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri demi manfaat Keluarga Malaysia keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan itu.
Projek Perumahan | Lebih lapan tahun bayar ansuran, tapi kunci tak diterima
Setakat ini, Fasa Satu projek tersebut memperolehi CCC pada 15 Disember 2020 manakala bagi Fasa Dua CCC telah diperolehi pada 31 Disember tahun yang sama.
Astro AWANI pada Selasa melaporkan keluhan pembeli kediaman tersebut yang berharap keluhan mereka bukan sahaja mendapat perhatian pihak berwajib malah daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga.
Menurut laporan tersebut, seramai 972 pembeli tidak lagi mampu menahan sabar selepas terpaksa menunggu 13 tahun namun rumah yang dibeli itu masih belum dapat diduduki.
Lebih menyukarkan keadaan, mereka perlu membayar ansuran bulanan berjumlah lebih RM200 sejak tahun 2014.
#Taman Seri Molek Perdana #SPNB #Johor Bahru #terbengkalai
;