Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tetap mengekalkan harga rumah mampu miliknya pada RM250,000 dan ke bawah sekalipun harga pasaran hartanah sekarang adalah tinggi.

Naib Presidennya Siti Hajar Md Saleh berkata SPNB akan mencari kaedah terkini bagi mengawal harga rumah mampu milik yang mereka majukan demi kepentingan rakyat.

"Jika kami agensi kerajaan menaikkan harga, siapa yang akan menolong rakyat (memiliki rumah)," katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel program bicara isu 'Pemilikan Rumah di Lembah Klang - Antara Mimpi dan Realiti', di sini pada Isnin.

Mengulas perkembangan berkaitan, Siti Hajar berkata SPNB melancarkan dua lagi projek perumahan yang menawarkan 1,855 unit rumah mampu milik iaitu 1,200 unit di Laguna Biru, Sungai Buloh dan 655 unit di Alam Prima, Shah Alam.

Program bicara isu anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan itu bertujuan membincangkan isu pemilikan rumah di Lembah Klang termasuk harga rumah, masalah berkenaan struktur dan kualiti binaan serta sikap pembeli.

Turut menjadi anggota panel ialah Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Jabatan Perumahan Negara Gurdev Singh, manakala Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datuk Zulkefli Salleh menjadi perantara.