SPNB bina hampir 2,000 unit rumah di Selangor
Bernama
Oktober 18, 2013 20:55 MYT
Oktober 18, 2013 20:55 MYT
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bakal membina dua lagi projek membabitkan 1,885 unit di bawah program Rumah Pertama Rakyat di Selangor dalam tempoh terdekat.
Pengerusinya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata projek itu sedang dalam pembinaan bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk Selangor selain komitmen Kerajaan Pusat untuk menyediakan rumah kepada golongan memerlukan.
"Terima kasih kita ucapkan kepada kerajaan Selangor yang memberikan kerjasama termasuk proses kelulusan SPNB berjalan dengan baik. Kerajaan Tempatan memainkan peranan penting untuk memastikan kerjasama ini berterusan," katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau turut meminta kerajaan Selangor supaya menimbangkan penyediaan tanah bagi SPNB membina rumah di negeri itu dalam usaha memastikan harga jualan rumah dapat dikurangkan memandangkan 30 peratus daripada harga rumah ditentukan faktor harga tanah.
Terdahulu, Abd Latiff merasmikan majlis cabutan undian projek Rumah Pertama Rakyat Alam Prima Fasa 2, Shah Alam di sini yang menawarkan 646 unit pangsapuri dengan harga permulaan dari RM226,000 hingga RM412,000.
Seramai 11,000 orang mendaftar dengan SPNB untuk membeli rumah berkenaan dengan pemilihan dilakukan melalui cabutan undi.
Sementara itu, Presiden SPNB Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh dalam ucapannya berkata SPNB telah berjaya membina 71,000 buah rumah terbengkalai di seluruh negara sejak ia diperkenalkan.
Beliau berkata sebanyak 23,000 unit Rumah Mesra Rakyat juga telah dibina di seluruh negara.
"SPNB juga akan memperkenalkan program baharu bagi membantu menangani permintaan rumah yang tinggi dan dijangka akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Belanjawan 2014," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abd Latiff yang merupakan anggota Parlimen Mersing dan penyandang Majlis Tertinggi Umno berkata peluang semua calon dalam pemilihan jawatan itu yang akan berlangsung esok adalah sama rata.
"Saya juga sama dengan calon lain, mengalami perasaan yang sama kerana ini pertama kali pemilihan seperti ini diadakan," katanya yang mengenakan jersi merah bernombor 33 sebagai simbolik nombor pencalonannya bagi jawatan Majlis Tertinggi UMNO.