SPM2020: Peratus kehadiran calon tertinggi dalam lima tahun - LPM

Astro Awani
Jun 13, 2021 23:05 MYT
Pkharuddin berkata, tarikh peperiksaan yang dianjak ke bulan Februari dan Mac membebaskan pelajar dari berhadapan risiko musim tengkujuh. - Gambar fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peratus kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 adalah paling tinggi dalam tempoh lima tahun, kata Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.
Jelasnya, pada 2016 peratusan kehadiran calon ialah 96.8 peratus sebelum turun dan naik pada tahun selepas itu sehingga mencatat kadar 97.67 peratus pada 2020.
"Kalau kita tengok dari segi kehadiran, apa petunjuknya? Sudah tentu pelajar rasa yakin dan bersemangat pergi ke pusat peperiksaan dan akhirnya angka ini menjadi paling tinggi dalam tempoh lima tahun.
"Kalau kehadiran tinggi, kenapa kita tengok peningkatan 0.06 peratus (Peningkatan Gred Purata Nasional) itu sesuatu yang mustahil. Kalau itu tidak boleh menggambarkan sebagai semangat menduduki peperiksaan, mungkin kita tidak yakin dengan apa yang anak kita hadapi pada tahun 2020 ini," katanya semasa program Agenda AWANI pada Ahad.
BACA: SPM 2020: Tuduhan keputusan dibuat-buat tidak masuk akal - Radzi Jidin
[INFOGRAFIK] Laporan analisis SPM 2020
Dalam pada itu katanya, tarikh peperiksaan yang dianjak ke bulan Februari dan Mac membebaskan pelajar daripada berhadapan risiko musim tengkujuh.
Ujarnya, beberapa kemudahan lain, antaranya masa peperiksaan yang dianjak beberapa minit turut memudahkan calon di negeri tertentu untuk menunaikan solat.
Selain itu, kebenaran makan semasa mengambil peperiksaan dan peluang mengambil peperiksaan kali kedua jika tidak sihat atau mempunyai simptom, turut memberi kemudahan kepada calon.
Pkharuddin juga menjelaskan, peningkatan kelulusan mata pelajaran Matematik, Sains dan Sejarah disebabkan calon sudah cukup bersedia selepas peperiksaan ditangguhkan sebanyak dua kali.
Katanya lagi, slip keputusan rasmi SPM 2020 boleh dimuat turun dan dicetak mulai 14 Jun.
Sementara itu, katanya calon yang ingin menyemak semula keputusan mereka boleh berbuat demikian bermula 10 Jun sehingga 10 Julai depan.
Ujarnya, pendaftaran pelajar yang ingin mengulang SPM sepenuhnya atau kertas ulangan Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik akan berakhir pada 25 Jun secara dalam talian.
Seramai 9,411 calon SPM 2020 memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.
Selain itu, seramai 338,659 calon layak menerima sijil SPM 2020.
Dalam pada itu katanya, satu laporan polis sudah dibuat berhubung isu tuduhan segelintir pihak mengenai skala gred keputusan SPM 2020.
Tegasnya, isu tular itu tidak benar sekali gus mengelirukan seluruh calon, ibu bapa, masyarakat dan rakyat negara ini.
"Sejujurnya, Lembaga Peperiksaan tidak pernah mengeluarkan kepada umum apa yang kita tentukan dalam gred SPM sepanjang sejarah peperiksaan.
"Apa yang penting berkaitan peperiksaan ialah data yang kita kumpul dari 400,000 calon seluruh negara itu adalah data yang diterjemahkan oleh 24,848 pemeriksa.
"Guru-guru yang diberi amanah sejujurnya, dengan seadilnya dengan kepakaran mereka menterjemahkan hasil kerja pelajar menjadikannya data. Data yang besar itu masuk ke dalam sistem. Tahun ini kita buat secara dalam talian, tiada siapa boleh menyentuh atau memanipulasi data itu," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila ada pihak memaparkan skala gred SPM yang menunjukkan kononnya jadual skala markah diturunkan, antaranya untuk Matematik Tambahan, pelajar mendapat A- meskipun memperoleh skor hanya 50, manakala Bahasa Inggeris dan Melayu, dengan skor 66, pelajar memperoleh A-.
#SPM #kehadiran tinggi #gred meningkat #penjelasan #Pengarah Peperiksaan #Pkharuddin Ghazali #Lembaga Peperiksaan
;