SPM mohon bantuan media, orang ramai bantu kempen solidariti Palestin

Bernama
April 24, 2020 04:47 MYT
SPM juga memaklumkan bahawa tabung sumbangan bantuan 'COVID-19 AID FOR PALESTINE' akan digerakkan berikutan keadaan di Gaza, Palestin pada saat ini agak kritikal akibat wabak COVID-19. - Gambar hiasan
Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) meminta sokongan media massa dan semua pihak bagi membantu kempen yang dilancarkan pada Jumaat mengenai kesedaran dan solidariti bersama rakyat Palestin yang tertindas.
SPM dalam kenyataan berkata kempen itu akan diadakan sehingga 22 Mei depan yang merupakan hari Jumaat terakhir bulan Ramadan yang disambut di seluruh dunia sebagai Hari Al-Quds Sedunia, dan kempen itu digerakkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu MAPIM, SEJAGAT, SHURA dan Citizen International.
"Kempen ini sebagai manifestasi kebersamaan kita mendukung perjuangan rakyat Palestin dalam membebaskan tanah air mereka khususnya Masjid Al-Aqsa di bumi Al-Quds yang merupakan tanah suci umat Islam sedunia.
"Di sepanjang sebulan kempen ini pelbagai program dan aktiviti akan ke udara melalui saluran Facebook rasmi 'Sekretariat Palestin Malaysia'," menurut kenyataan itu.
SPM juga memaklumkan bahawa tabung sumbangan bantuan 'COVID-19 AID FOR PALESTINE' akan digerakkan berikutan keadaan di Gaza, Palestin pada saat ini agak kritikal akibat wabak COVID-19.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan bantuan di akaun Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Kuala Lumpur menerusi akaun Maybank 564810009147 untuk bantuan keperluan mendesak iaitu ubat-ubatan, peralatan perubatan, bahan ujian makmal, katil rawatan rapi dan ventilator bagi pesakit COVID-19, kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#22 Mei #Citizen International #COVID-19 #COVID-19 AID FOR PALESTINE #Hari Al-Quds Sedunia #Jumaat #kempen #Kesedaran #MAPIM #Media #NGO #Palestin #Ramadan #SEJAGAT #Sekretariat Palestin Malaysia #SHURA #solidariti #tabung #tertindas
;