SPM: Guru cipta modul khas bantu pelajar tidak dapat ikuti PdPR

Bernama
Jun 12, 2021 12:57 MYT
Modul belajar sendiri yang dibuat oleh Norfarahana bagi membantu pelajar yang tidak berupaya mengikuti sesi dalam talian PdPR. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Modul 'belajar sendiri' yang dibuat seorang guru subjek Sains bagi membantu pelajar yang tidak berupaya mengikuti sesi dalam talian Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), membuahkan hasil apabila 22 daripada 29 pelajarnya meraih gred 'A' untuk subjek itu.
Norfarahana Amir, 37 tahun, guru di Sekolah Menengah Agama Jawahir Al-Ulum di Batu Pahat, juga tidak berkira untuk mengeluarkan bajet sendiri dalam menyediakan modul yang menarik bagi pelajarnya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pada ketika pandemik COVID-19 melanda negara ini.
Mesra dipanggil 'Cikgu Nana', beliau berkata sebagai tenaga pengajar, menjadi tanggungjawabnya menyediakan modul yang berkesan untuk pelajar kerana tidak semua murid mampu mengikuti sesi pembelajaran dalam talian.
"Terdapat beberapa pelajar yang bakal menduduki SPM waktu itu tidak mempunyai telefon pintar di rumah, jadi saya sediakan modul yang saya hasilkan sendiri, cetak sendiri untuk semua pelajar saya. Alhamdulillah, dengan memberikan mereka modul yang berkesan, 22 daripada mereka berjaya mendapat A dalam mata pelajaran saya ketika keputusan SPM dikeluarkan.
"Modul yang saya berikan merupakan koleksi soalan peperiksaan SPM pada tahun sebelumnya dan ada juga koleksi soalan yang dikongsi oleh para guru melalui kumpulan 'Cikgu Sains Kreatif Tingkatan 4 dan 5' melalui aplikasi Telegram," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata modul-modul yang dihasilkan adalah secara "personalised" dan "customised" mengikut tahap prestasi murid, dan turut mengadakan sesi perbincangan bersama murid setiap kali selepas pelajarnya membuat latihan yang disediakan dalam modul tersebut.
Pada masa sama, Norfarahana yang sudah berkhidmat selama 12 tahun di sekolah itu, turut mendekatkan dirinya dengan pelajar walaupun di luar waktu pembelajaran selain menasihati murid untuk terus belajar.
"Apabila mendekatkan diri dengan pelajar, kita dapat tahu permasalahan yang mereka hadapi dalam pelajaran dan sedikit-sebanyak dapat membantu mereka sekiranya saya mampu," katanya.
Ibu kepada empat anak itu juga bangga kerana sekolahnya turut berjaya mendapat kedudukan kelima teratas di Batu Pahat dalam pencapaian SPM 2020.
-- BERNAMA
#Cikgu #PdPR #modul #guru #Sains #pelajar #COVID-19 #SOP #SPM
;