SPM: Asingkan mereka yang tidak divaksin - PIBGN

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 2, 2022 13:44 MYT
Menurut Mohamad Ali, pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan juga disarankan untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai namun adil terhadap mereka yang masih enggan menerima suntikan vaksinasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan guru yang tidak divaksin atas pelbagai sebab perlu diasingkan daripada mereka yang telah divaksin bagi memastikan proses peperiksaan SPM yang bakal dijalani bulan depan berjalan lancar.
Menurut Presiden Persatuan Guru-Guru dan Ibu Bapa Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, ia memandangkan kerisauan yang dialami membabitkan kluster pendidikan kebelakangan ini selain tempoh peperiksaan SPM yang semakin hampir.
"Ada segelintir ibu bapa atau penjaga, dan juga segelintir guru selain pelajar yang tidak mahu disuntik (vaksin). Mereka tidak ada imunisasi atau vaksinasi. Mereka yang sebegini saya rasa kita mestilah berlaku adil dan saksama.. mungkin mereka ini perlulah menjauhkan diri (diasingkan) daripada tempat peperiksaan tersebut.
"Misalnya bagi ibu bapa yang tidak disuntik, diharapkan mereka tidak mendekati sekitar persekolahan. Begitu juga anak-anak (yang tidak divaksin), mereka ini perlu diasingkan untuk menghadapi peperiksaan berkenaan supaya COVID-19 dapat dibendung dan tidak merebak," katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya lagi, pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan juga disarankan untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai namun adil terhadap mereka yang masih enggan menerima suntikan vaksinasi.
Bagaimanapun, beliau berharap pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan ketika ini sentiasa dipatuhi oleh semua pihak tanpa kecuali bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.
Dalam perkembangan yang sama, beliau melihat kesiapsiagaan guru-guru serta pelajar-pelajar ketika ini berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi SPM pada Mac nanti.
Jelasnya, walaupun sesi persekolahan bersemuka baru bermula dan berhadapan dengan keadaan kluster pendidikan yang berlaku, namun Mohamad Ali yakin dengan kecekapan dan persediaan yang telah dilakukan akan dapat memastikan sesi peperiksaan SPM tahun ini akan berjalan lancar.
#COVID-19 #guru #SPM #vaksin
;