SPM 2020: Norma baharu tidak jejas semangat pelajar OKU

Abd Hadi Che Awang
Februari 18, 2021 08:00 MYT
Tidak terkecuali merasai cabarannya, adalah seorang pelajar autism, Samsuri Ruzmi, 18, yang terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan. - Astro AWANI
PADANG TERAP: Perubahan kaedah pembelajaran daripada secara fizikal kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang merupakan norma baharu dalam sektor pendidikan memberi kesan besar kepada keseluruhan pelajar terutama calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tidak terkecuali merasai cabarannya, adalah seorang pelajar autisme, Samsuri Ruzmi, 18, yang terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan termasuk kesukaran mendapat capaian internet yang baik di kawasan kediamannya di Pedu, Padang Terap.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedu itu, antara kesukaran lain adalah untuk memahami setiap yang diajar oleh gurunya menerusi telefon pintar memandangkan ia perkara baharu buatnya.
Bagaimapun, dia yang bercita-cita untuk menjadi seorang chef, tetap mengambil inisiatif dengan melibatkan diri dalam kelas tambahan sebaik sahaja kelas secara dalam talian tamat selain mengadakan kumpulan belajar bersama rakan-rakan sekelasnya.
Tambah Samsuri, sikap guru-guru yang tidak patah semangat dalam mengajar individu sepertinya juga memberi satu sinar buatnya untuk berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik malah setiap apa yang dilakukan.
"Rasa macam susah juga sebab tak boleh belajar, tak boleh pergi sekolah... dengan tuisyen dalam talian dan sebagainya. Semua itu dugaanlah juga tapi kadang-kadang pergi rumah kawan untuk ambil latihan, terpaksa tanya kawan-kawan.
"Cikgu hantar bahan untuk belajar... jadual apa semua... jadi macam senang sikit untuk belajar. Cikgu akan terang macam mana nak belajar... cikgu kata kalau macam susah tanya saja cikgu... kalau tanya kawan pun boleh," katanya.
Dalam pada itu, dia yang pernah mendapat tempat keempat daripada 24 pelajar dalam kelasnya, menzahirkan kesediaan untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan SPM yang akan bermula minggu hadapan.
SPM 2020 | Norma baharu tidak jejas semangat pelajar OKU
Sementara itu ibu bapa Samsuri menyatakan bahawa mereka sentiasa memberi sokongan kepada anak kedua mereka itu terutama melibatkan sesi pembelajaran.
Mereka mengakui sukar untuk menguruskan sesi PdPR pada awal peringkat pelaksaannya terutama sikap agresif yang ditunjukkan Samsuri sepanjang mengikuti kelas secara atas talian ketika itu.
Namun, semangat yang ditunjukkan Samsuri sentiasa menjadi 'penyembuh' buat mereka untuk sentiasa melakukan yang terbaik buat anak mereka.
Jelas mereka, yang turut mempunyai seorang lagi anak autisme, kekurangan yang ada pada diri anak-anak mereka bukan penghalang untuk mereka berjaya dalam apa juga yang dilakukan.
Bapa Samsuri, Ruzmi Ahmad, 54, berkata: "Kira dia belajar kira ada usaha juga... walaupun status Orang Kurang Upaya (OKU) namun ada usaha. Dia rajin ikuti kelas, dulu pun rajin pergi tuisyen yang cikgu buat," katanya.
Ibunya pula, Tatah Susila Muhaini Mohd Kamal, 41 , berkata: "Saya tengok dia bersiap sedialah untuk persiapan SPM... lepas ini saya harap dia boleh menjawab soalan peperiksaan dia tu dengan baik," katanya.
#autism #pelajar #calon #SPM #Pedu #Padang Terap #PdPR #cabaran #kekangan #OKU #halangan
;