SPM 2020: Kembar peroleh keputusan cemerlang di sebalik kesukaran
Fareez Azman
Jun 17, 2021 19:23 MYT
Jun 17, 2021 19:23 MYT
KUALA LUMPUR: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 menyaksikan pelbagai rintangan terpaksa dihadapi pelajar ketika menduduki peperiksaan antara terpenting dalam hidup mereka.
Namun tiada siapa menyangka berkat usaha dan keyakinan, pasangan kembar Ainul Mardhiah Yusof dan Ainul Radhiah Yusof, 17, berjaya memperoleh keputusan cemerlang baru baru ini.
Dalam temu bual Astro Awani bersama mereka pada Khamis, jelas terpancar kegembiraan dan kesyukuran pada wajah kedua beradik kembar ini ketika bercerita pengalaman mengakses portal Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk mendapatkan keputusan.
"Pastinya ketika buka portal Lembaga Peperiksaan Malaysia, saya sangat takut dan lepas dapat tahu keputusan saya semuanya A, Alhamdulilah segala tekanan masa SPM ditangguhkan hilang sekelip mata.
"Keputusan cemerlang ini saya dedikasikan buat ibu bapa dan guru yang sentiasa berikan sokongan kepada saya," jelas Ainul Mardhiah.
Berbekalkan keputusan itu, Ainul Mardiah sentiasa berdoa agar impiannya untuk menjadi seorang jurutera kimia berjaya di luar negara dimakbulkan.
Malah, pembukaan semula permohonan kemasukan pelajar lepasan SPM ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi nafas lega buat anak pertama dari tiga adik beradik ini.
Selain membanggakan ibu bapa, Ainul Mardhiah juga menyimpan hasrat untuk berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) suatu hari nanti.
"Impian jangka masa panjang saya selepas jadi jurutera kimia profesional, saya ingin pergi ke United Nation (PBB) untuk besarkan lagi impian saya.
"Di PBB ini semua negara ada di situ, malah mereka juga antara yang membuat pilihan dan keputusan untuk dunia. Jadi kalau saya dapat peluang, saya ingin bawa nama Malaysia di persada dunia," ikrarnya.
Sementara itu, adik kembarnya, Ainul Radhiah yang mendapat keputusan 8A dan 1B pula menyimpan cita-cita menjadi seorang pengamal undang-undang.
"Saya berminat pengajian dalam bidang sosial sains dan undang-undang atau ekonomi. Subjek-subjek ini sangat saya minati kerana dapat bawa perubahan kepada masyarakat," katanya.
Meskipun pelbagai rintangan dan cabaran ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum menduduki SPM, namun berkat ketekunannya belajar memberikan hasil kejayaan yang amat dibanggakannya.
"Saya lebih senang bersemuka dengan cikgu di dalam kelas, jadi kalau duduk belajar di rumah dan tidak berdepan dengan cikgu, saya rasa itu sangat sukar dan bukan mudah.
"Tetapi bila dapat keputusan macam ini, memang berbaloi dengan kesusahan yang saya alami, sampai malam belajar untuk betul-betul memahami sesebuah subjek itu,saya sangat bersyukur dengan keputusan saya," katanya lagi.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini memaklumkan pencapaian calon SPM 2020 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, Gred Purata Nasional (GPN) pada 2020 adalah 4.80 berbanding 4,86 pada tahun 2019 yang juga merupakan GPN terbaik dalam tempoh lima tahun.
#Sijil Pelajaran Malaysia
#SPM
#ekonomi
#pelajar
#pendidikan
#guru
#rakyat Malaysia
#undang-undang
#Sains
#peperiksaan
#Malaysia
#pengajaran dan pembelajaran
#PdPR
#KPM
#keputusan cemerlang