SPM 2017: GPN meningkat 0.15 berbanding 2016

Wan Syamsul Amly
Mac 15, 2018 10:28 MYT
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 menunjukkan pencapaian lebih baik dengan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 0.15 berbanding tahun 2016 - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 menunjukkan pencapaian lebih baik dengan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 0.15 berbanding tahun 2016.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Amin Senin berkata, keputusan itu diperoleh daripada GPN 4.90 pada tahun ini berbanding 5.05 pada tahun lepas dan 5.08 pada tahun sebelumnya.
Katanya lagi, nilai gred GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik.
Jelasnya, secara keseluruhannya sebanyak 66 peratus calon SPM 2017 menguasai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan baik.
"Berdasarkan kualiti jawapan calon, 27 peratus calon menguasai KBAT pada tahap tinggi, 39 peratus pada tahap sederhana dan 34 peratus pada tahap rendah.
"Calon menguasai kemahiran mengaplikasi pada tahap yang tinggi, namun kemahiran menganalisis, menilai dan mencipta masih pada tahap sederhana," katanya semasa sidang media pengumuman keputusan SPM di sini hari ini.
Seramai 443,883 calon telah menduduki peperiksaan SPM 2017 pada tahun lalu di 3,363 pusat peperiksaan seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 386,331 calon atau 87 peratus adalah dari calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Jelasnya, keputusan peperiksaan juga menunjukkan 48 daripada 74 mata pelajaran mencatatkan prestasi, 23 mata pelajaran penurunan dan dua lagi tidak berubah.
"Lima mata pelajaran teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik menunjukkan peningkatan prestasi.
"Mata pelajaran teras yang lain seperti Pendidikan Moral dan Sains mencatatkan penurunan. Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu mencatatkan peningkatan yang tertinggi sebanyak 0.46 manakala mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.11.
"Sebanyak 43 daripada 66 mata pelajaran elektif menunjukkan peningkatan prestasi. Dalam bidang elektif Sains dan Matematik, tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan,"
Dalam pada itu kata Amin, pencapaian calon di bandar dan luar bandar turut memberangsangkan.
"Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.14 iaitu 4.75 pada tahun 2017 berbanding 4.89 pada tahun 2016.
"Pencapaian calon di luar bandar juga meningkat sebanyak 0.14 iaitu 5.22 pada tahun 2017 berbanding 5.36 pada tahun 2016.
"Hal ini menunjukkan peningkatan pencapaian calon di luar bandar setara dengan peningkatan calon di bandar. Perbezaan pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar pula kekal 0.47 pada tahun 2017 sama seperti 2016," jelasnya.
#GPN #SPM2017
;