Splash: Rakyat Selangor bakal tanggung tarif air RM1,200 setahun - Zein Isma

Bernama
November 17, 2016 19:47 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mendakwa kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Abdul Khalid menawarkan sebanyak RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti Splash. - Gambar fail
Rakyat Selangor berkemungkinan akan menanggung kos tarif air RM1,200 setahun sekiranya kerajaan negeri tetap dengan keputusan menawarkan RM2.7 bilion untuk mengambil alih ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Zein Isma Ismail berkata ini kerana nilai tawaran itu adalah 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal berjumlah RM250.6 juta, yang diputuskan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Kita bimbang kemungkinan 2.4 juta rakyat Selangor tidak kira yang kaya atau miskin perlu membayar (tarif air) secara paksa RM1,200 seorang atas arahan kerajaan negeri, berikutan perlu menanggung lebihan RM2.45 bilion seperti yang didakwa Abdul Khalid.
"Setiap pengundi di Selangor juga perlu sedar adakah mereka akan gembira sekiranya wang mereka diambil untuk tambah kekayaan pemegang saham Splash," katanya dalam sidang media di bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mendakwa kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Abdul Khalid menawarkan sebanyak RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti Splash antara 2008 dan 2014, namun Abdul Khalid menafikan dakwaan itu.
Sebaliknya, Abdul Khalid menegaskan tawaran terakhir yang dibuat pihaknya kepada Splash adalah sebanyak RM250.6 juta sebagai bayaran ekuiti.
Bekas menteri besar itu juga berkata bayaran berlebihan dalam pengambilalihan syarikat itu akan membebankan rakyat Selangor untuk tempoh 30 tahun akan datang.
Zein Isma berkata berbeza dengan kerajaan Selangor, kerajaan persekutuan sebaliknya sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat termasuk di Selangor dengan berusaha memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, antaranya dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Kerajaan Persekutuan beri BR1M kepada rakyat tetapi rakyat Selangor mungkin dipaksa bayar RM1,200 kepada Splash. Justeru, rakyat wajar lihat ia (perbezaan) dengan pandangan yang jelas," katanya.
Beliau dalam pada itu berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat dan bertindak sekiranya terdapat bukti melibatkan rasuah dalam proses pengambilalihan ekuiti syarikat berkenaan. -- Bernama
#Abdul Khalid Ibrahim #Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Selangor #SPLASH #Syarikat Pengeluar Air Selangor #Zein Isma Ismail
;