SPK bantu lebih 8,000 golongan memerlukan
Astro Awani
Julai 18, 2021 21:09 MYT
Julai 18, 2021 21:09 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah.
Ada sahaja yang susah, pasti dibantu tak kiralah secara bersendirian atau melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Negara kini berdepan situasi sukar dan ramai juga rakyat menghadapi kesusahan namun dengan adanya insan-insan sebegini, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka.
Salah satu yang aktif membantu ialah Skuad Prihatin Kemiskinan (SPK) yang mula ditubuhkan pada 2019 dan semakin aktif sejak pandemik menyerang negara.
Skuad itu adalah gabungan antara dua organisasi, Super Thinkers (sebuah pusat pendidikan pra-sekolah) dan Al-Khaadem (sebuah pertubuhan dakwah) dengan misi untuk membantu golongan miskin dan tidak berkemampuan.
Pengarah Pembangunan Al Khaadem, Fizal Abdul Jamel berkata, setakat 16 Julai 2021, SPK telah mengagihkan bantuan kepada lebih 8000 keluarga dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM840,916.50.
“Kita sediakan 13 jenis perkhidmatan yang memberi penumpuan kepada kumpulan B40, golongan asnaf, golongan rentan dan golongan lain yang memerlukan.
“Pada tahun 2020, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, SPK telah membantu hampir 2,000 keluarga yang terkesan dengan pandemik itu.
“Pada tahun 2021, menyedari semakin ramai terkesan, SPK telah melancarkan tiga jenis bantuan terbaharu iaitu Trak Ihsan SPK, sebuah ‘food bank’ bergerak bagi mengagihkan pek bantuan makanan sekitar Lembah Klang,” katanya kepada Astro AWANI.
Selain itu, katanya, mereka turut melancarkan Rezeki Rakyat Untuk Rakyat yang bekerjasama dengan restoran dan kedai makan, menyediakan makanan siap masak kepada golongan memerlukan.
Dalam program tersebut, makanan dijual pada harga RM2 untuk golongan M40 dan percuma untuk B40 dengan pelbagai menu disediakan setiap kali ia beroperasi.
SPK turut melancarkan program Bantuan Kilat yang merupakan bantuan segera kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik dan hilang punca pendapatan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.
Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain dalam melaksanakan Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak masak mentah (CPO).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggim, berkata jalinan kerjasama itu bagi memastikan harga minyak masak 5 kilogram (kg) tidak melebihi RM30.
Kerajaan juga mengumumkan sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan kepada NGO dalam membantu kerajaan menangani isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.
#NGO
#bantuan
#PKP
#rakyat
#perintah kawalan pergerakan
#golongan asnaf
#COVID-19
#kesihatan mental
#pandemik