SPH sahkan anak syarikat majalah di Malaysia tamat operasi

Bernama
Mei 3, 2020 21:29 MYT
Singapore Press Holdings Ltd (SPH) mengesahkan bahawa anak syarikatnya di Malaysia, Blu Inc Holdings telah menamatkan operasi. - Bernama
Singapore Press Holdings Ltd (SPH) mengesahkan bahawa anak syarikatnya di Malaysia dengan 70 peratus kepentingan, Blu Inc Holdings Malaysia (BIHM) Group yang juga penerbit majalah telah menamatkan operasi pada 30 April, 2020.
SPH berkata perniagaan majalah di Malaysia yang beroperasi secara bebas di bawah entiti BIHM Group, hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan perniagaan Kumpulan SPH.
"Perniagaan itu telah merosot sejak beberapa tahun lepas akibat penyusutan pendapatan serta (angka) edarannya," katanya dalam kenyataan sebagai menjawab pertanyaan media.
Menurut SPH, berikutan penularan pandemik COVID-19, adalah sukar untuk menentukan aspek tempoh serta impak terhadap perniagaan majalah di Malaysia.
Penamatan operasi itu bagaimana pun tidak memberi sebarang impak material kepada pendapatan atau aset ketara bersih SPH sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2020.
-- BERNAMA
#BIHM #Blu Inc Holdings Malaysia #majalah #Malaysia #Singapore Press Holdings Ltd #SPH
;