Spesies hidupan terancam di Malaysia, ini yang perlu kita selamatkan
Najmi Syahiran Mamat
Mac 3, 2020 08:30 MYT
Mac 3, 2020 08:30 MYT
SEKETIKA dahulu kita dikejutkan dengan kematian tiga badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia - Puntung, Tam dan Iman.
Ia satu kehilangan besar buat khazanah negara. Namun, semua ini tinggal kenangan. Tanpa kita sedar, tangan-tangan manusia yang rakus ini menjadi punca utama kepupusan haiwan terbabit.
Setiap tahun, tidak cukup dengan laporan kepupusan hidupan liar, tetapi badan bukan kerajaan NGO turut menggembleng tenaga dalam usaha memulihara spesies terancam dan juga memberi kesedaran kepada orang awam.
Biarpun pelbagai usaha yang dipergiat demi menjaga kelestarian alam semulajadi, namun masih ramai yang tidak peduli.
Selain spesies haiwan tergolong dalam kategori terancam di Malaysia menurut rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), hidupan lain termasuk hidupan akuatik dan tumbuhan juga menjadi tanggungjawab kita untuk memeliharanya.
Janganlah kita pula yang dipersalahkan oleh generasi akan datang ekoran tidak lagi boleh melihat satu per satu spesies hidupan flora dan fauna berikut yang mungkin akan menerima nasib yang sama seperti Puntung, Tam dan Iman.
Bersempena dengan Hari Hidupan Liar Sedunia yang disambut pada 3 Mac setiap tahun, Astro AWANI senaraikan spesies hidupan yang terancam yang perlu kita selamatkan.
HARIMAU MALAYA
Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) merupakan salah satu subspesies harimau belang yang masih wujud di dunia dan hanya terdapat di Semenanjung Malaysia.
Spesies karnivor ini hidup bersendirian kecuali ketika hendak mengawan atau masih beranak kecil. Proses mengawan berlaku sepanjang tahun dan menghasilkan dua atau tiga ekor anak.
Daripada sembilan subspesies harimau belang di dunia, tiga daripadanya telah diisytiharkan pupus.
SELADANG
Seladang atau nama saintifiknya, Bos gaurus merupakan mamalia darat kedua terbesar di Malaysia selepas gajah. Biasanya, spesies ini tinggal di hutan Tropika atau mendiami kawasan hutan tanah pamah.
Usia matang seladang yang berada dalam kurungan adalah sekitar dua tahun empat bulan. Di habitat asal, pembiakan spesies ini berlaku sepanjang tahun walaupun terdapat tempoh kemuncak antara bulan Disember dan Jun.
GAJAH PYGMY
Gajah pygmy Borneo juga dikenali dengan panggilan gajah kerdil Borneo atau nama saintifiknya Elephas maximus borneensis.
Ia merupakan sub spesies terkecil di dunia dan boleh ditemui di timur Sabah dan utara Kalimantan.
Lebih kecil berbanding gajah Asia yang lain, pygmy Borneo mempunyai ekor yang lebih panjang yang hampir mencecah ke tanah, selain gading yang lebih tegak.
Kemusnahan kawasan hutan tanah rendah, kegiatan pemburuan dan pembalakan antara ancaman yang mengundang kepada kepupusan habitat itu.
PENYU
Selain hidupan di darat, hidupan di laut juga antara spesies reptilia yang dipercayai turut terancam akibat perbuatan rakus manusia.
Pelbagai ancaman yang boleh menimpa seekor penyu. Selain terkena kipas bot, tersangkut pada pukat nelayan, termakan plastik juga antara punca utama haiwan itu tidak hidup lama.
Selain itu, aktiviti penjualan telur penyu secara haram juga turut menjadi kebimbangan kepada spesies reptilia itu.
Ia kerana aktiviti haram itu masih lagi berleluasa di sesetengah tempat yang menjadi tumpuan haiwan itu menetaskan telur.
DUGONG
Sejak penemuannya pada lewat 1960-an, dugong merupakan haiwan yang semakin terancam saban tahun.
Mamalia yang jarang ditemukan itu, dilaporkan hanya tinggal 100 ekor sahaja di Malaysia pada 2016 di seluruh negara.
Hakikatnya, bilangan populasi mamalia akuatik itu amat sedikit dengan kebanyakannya didapati di perairan negeri Johor, Sarawak dan Sabah.
Dianggarkan hanya tinggal 40 hingga 50 ekor di Johor, manakala 20 hingga 30 ekor di Sabah dan juga Sarawak.
TAPIR
Tapir di Malaysia dikenali sebagai Tapir Malaya (Tapirus Indicus) yang mempunyai warna fizikal luar hitam dan putih.
Dalam usaha pemeliharaan, ancaman utama adalah pemecahan habitat dan perburuan menggunakan jerat dan senjata api.
Menariknya, fungsi haiwan yang mendiami pelbagai habitat ini adalah penting sebagai penyebar biji benih di dalam ekosistem hutan tropika.
Menurut rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), anggaran minimum populasi tapir di seluruh Semenanjung Malaysia adalah di antara 1,100 hingga 1,500 ekor.
TENGGILING
Tenggiling adalah haiwan yang mempunyai ekor pregensil dan gigi yang sikit, biasanya memakan semut dan anai-anai yang diambil dari sarang di pokok, tanah atau di bawah tanah dengan sarang serangga dibuka dengan kakinya yang kuat dan menjilat dengan lidahnya yang panjang.
Dikenali sebagai Manis javanica dalam bahasa saintifiknya, tenggiling antara mamalia yang sering dirampas daripada urus niaga haram hidupan liar di Asia dan kini diambang kepupusan.
BUNGA RAFFLESIA
Jika diteliti, tumbuhan juga antara hidupan yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Dikenali sebagai spesies bunga yang terbesar di dunia, Bunga Pakma atau nama saintifiknya rafllesia arnoldii mula ditemui di sebuah bandar Bengkulu di Sumatera, Indonesia.
Tumbuhan jenis parasit ini hanya terdapat di kawasan Asia Tenggara sahaja.
MERANTI DAUN BESAR
Meranti daun besar atau nama saintifiknya, Shorea hemsleyana merupakan sejenis pokok yang boleh didapati di hutan-hutan paya.
Selain Semenanjung Malaysia, spesies ini juga boleh di Thailand dan Sumatera.
Menurut rekod Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, status pemuliharaan spesies ini adalah terancam kritikal.
Populasi semasa di Semenanjung Malaysia hanya tertumpu pada dua tempat di Perak, Universiti Teknologi Mara and Universiti Teknlologi Petronas, dengan 142 pokok.
Sumber: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, Projek Penyelidikan Dugong dan Rumput Laut, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia