Speaker Parlimen Turkiye lakukan kunjungan hormat ke Parlimen
Bernama
Oktober 4, 2022 18:52 MYT
Oktober 4, 2022 18:52 MYT
KUALA LUMPUR: Speaker Parlimen Turkiye Prof Dr Mustafa Sentop mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim di bangunan Parlimen, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikongsikan Unit Komunikasi Korporat Parlimen, lawatan rasmi itu adalah usaha dalam meningkatkan serta mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye serta timbal balas atas jemputan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Sentop tiba di bangunan Parlimen pada 10 pagi dan mengadakan pertemuan dengan Azhar di Bilik Kunjung Hormat selama satu jam sebelum meneruskan sesi lawatan ke dewan persidangan Parlimen.
Beliau mengunjungi dewan persidangan itu pada 11.20 pagi semasa sesi persidangan Parlimen berlangsung yang dipengerusikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.
"Kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Prof Dr Mustafa Sentop dan delegasi, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran tuan ke Dewan yang mulia ini. Semoga dengan kehadiran TYT dan delegasinya akan mengukuhkan lagi tali persahabatan dan hubungan Malaysia dan Turkiye," kata Rashid semasa memberi ucapan aluan menyambut kunjungan Speaker Parlimen Turkiye itu di Dewan Rakyat itu.
Kunjungan hormat Sentop diteruskan dengan sesi pertemuan bersama Rais di Bilik Kunjung Hormat dan beliau meninggalkan bangunan Parlimen pada kira-kira 12.30 tengah hari.
Semalam, pesawat khas membawa Sentop dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 11.50 malam dengan disambut Duta Turkiye di Malaysia Emir Salim Yuksel dan Mohd Rashid.
Dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia sehingga esok (5 Okt), Sentop dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
-- BERNAMA