Speaker Pahang serah notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR

Mohamad Zalani Atan
Ogos 21, 2023 12:21 MYT
Mohd Sharkar menyerahkan notis kekosongan DUN Pelangai kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli di Wisma Sri Pahang pada Isnin. -Astro AWANI
KUANTAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin hari ini menyerahkan notis kekosongan DUN Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pemergian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pada jam 11.20 pagi, di Wisma Sri Pahang.
Menurut Sharkar, ini adalah prosedur yang harus dilaksanakan apabila terdapat kekosongan kerusi DUN disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan seperti kemalangan jiwa atau yang berkaitan peraturan undang-undang dan sebagainya.
"Ini merupakan prosedur yang harus kita laksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mana apabila kedapatan kerusi kosong disebabkan perkara perkara tidak dapat dielakkan seperti kemalangan jiwa.
"Yang keduanya, mungkin sebab peraturan undang-undang dan sebagainya, maka pilihan raya kecil terpaksa diadakan," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
Sementara itu, Zamree memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat mengenai perkara tersebut pada minggu ini, dan menurut peraturan SPR, satu pilihan raya harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kekosongan iaitu sebelum 17 Oktober 2023.
Penyandang DUN Pelangai Datuk Seri Johari Harun, 53, yang juga EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Johari yang pertama kali bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 7,308 undi memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (2,031 undi), dan Isa Ahmad dari Pejuang (65 undi).
DUN Pelangai ialah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Bentong yang disandang wakil Parti Tindakan Demokratik (DAP) Young Syefura Othman.
#Mohd Sharkar Shamsudin #notis kekosongan DUN Pelangai #Suruhanjaya Pilihan Raya #Johari Harun #nahas pesawat terhempas di Elmina
;